Skip to main content

Malaysia: Tamatkan Penyalahgunaan Kuasa Polis

Penggunaan Kekerasan melampau, Tembakan, Kematian dalam Tahanan ‘Masalah Utama’

(Kuala Lumpur) – Kerajaan Malaysia perlu segera menerima pakai pembaharuan untuk memastikan kebertanggungjawapan bagi kematian dalam tahanan dan tembakan tidak wajar oleh pihak polis, Human Rights Watch berkata hari ini dalam satu laporan baharu. Pengawasan Bebas luaran ke atas Polis Diraja Malaysia diperlukan untuk menamatkan penutupan oleh pihak polis, kerahsiaan yang berlebihan, dan menghalang penyiasatan ke atas penyalahgunaan kuasa.

Laporan 102 muka surat, “‘Tidak Jawapan, Tiada Minta Maaf’: Penyalahgunaan Kuasa dan Kebertanggungjawapan Polis di Malaysia,” mengkaji dakwaan kes-kes penyalahgunaan kuasa polis di Malaysia sejak 2009, berdasarkan temu bual langsung dan aduan oleh mangsa dan keluarga mereka. Human Rights Watch mendapati bahawa siasatan penyalahgunaan kuasa polis biasanya dijalankan oleh polis sendiri, kurang telus, dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa ini hampir tidak pernah didakwa.

“Polis Malaysia tidak bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali diri mereka sendiri, dan rakyat biasa di seluruh negara kerap menanggung kesusahan akibat kecederaan dan kematian tragis,” kata Phil Robertson, timbalan Pengarah Asia di Human Rights Watch. “Kerajaan Malaysia perlu menyediakan pengawasan yang berkesan terhadap polis untuk menamatkan kematian tidak berasas, penyalahgunaan kuasa dalam tahanan yang boleh dicegah, dan penggunaan kekerasan yang melampau di jalanan.”

Human Rights Watch menemuramah 75 orang di Malaysia untuk laporan itu, termasuk mangsa penyalahgunaan kuasa polis dan ahli keluarga mereka, peguam, pegawai-pegawai polis termasuk Ketua Polis Negara semasa, pendakwa raya, dan kakitangan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Kekurangan kebertanggungjawapan polis memudahkan amalan penyalahgunaan kuasa polis dan kadang-kadang boleh membawa maut, kata Human Rights Watch. Dasar-dasar yang samar-samar, latihan yang kurang bermutu, kekurangan ketelusan, dan kegagalan kepimpinan untuk menyiasat dan mencegah amalan haram semuanya mewujudkan peluang untuk penyalahgunaan kuasa polis. Kerajaan Malaysia dan Ketua Polis Negara kelihatannya telah melepaskan tanggungjawab mereka dengan tidak membuat perubahan dasar yang diperlukan bagi memastikan pengawasan dan kebertanggungjawapan yang berkesan dalam kes-kes kematian tidak wajar, layanan buruk dalam tahanan, dan penggunaan kekerasan yang melampau. Keengganan mereka untuk memastikan bahawa polis bekerjasama dengan badan-badan pengawasan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), atau untuk mewujudkan satu badan bebas penyiasatan polis yang khusus seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja, telah memburukkan masalah.

Dalam satu temubual, Timbalan Ketua Polis Negara Khalid bin Abu Bakar (sekarang Ketua Polis Negara) memberitahu Human Rights Watch yang polis boleh menggunakan kekerasan maut untuk “perlindungan diri... jika polis diancam dengan kematian [dan] tidak ada masa untuk menggunakan senjata yang tidak membawa maut.” Tetapi penyiasatan Human Rights Watch mendapati keadaan yang jelas di mana polis cuba membenarkan tembakan maut dengan menyatakan bahawa suspek mempunyai parang (sejenis senjata tajam), atau menimbulkan ancaman kepada pihak polis semasa mengejar kereta atau mengelak dari sekatan jalan raya. Namun walaupun laporan-laporan ini jelas bercanggah dengan laporan saksi, polis jarang menyiasat tuntutan pegawai-pegawai mereka sendiri. Selalunya polis dari balai yang sama menjalankan penyiasatan penyelewengan yang didakwa ke atas rakan sekerja mereka.

Kerajaan tidak menunjukkan sebarang kecenderungan untuk mengubah amalan untuk mengurangkan penyalahgunaan polis, kata Human Rights Watch. Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, yang menyelia polis, berkata pada Oktober 2013, “[K]ami tidak lagi berkompromi dengan [penjenayah]. Tidak perlu untuk memberi mereka sebarang amaran. Jika kita mempunyai bukti, kita tembak dulu.”

“Polis Malaysia nampaknya percaya bahawa kenyataan umum mereka yang keterlaluan pada masa-masa tertentu mengenai tembakan yang menyebabkan kematian tidak akan tertakluk kepada bukti dan laporan media yang bertentangan,” kata Robertson. “Dan setakat ini, yang sedihnya ialah mangsa mempunyai kurang jalan penyelesaian kerana polis menyiasat diri mereka sendiri, mengabaikan permintaan pengawasan luar dan memanipulasi sistem.”

‘Satu Masalah Besar’

Kematian dalam tahanan polis di Malaysia adalah satu masalah yang besar, kata Human Rights Watch. Permintaan untuk kebertanggungjawapan polis terjejas oleh kelemahan dalam pemeriksaan bedah siasat ahli patologi kerajaan yang biasanya tidak mengkaji sama ada kematian mungkin telah disebabkan oleh layanan buruk polis. Ramai keluarga mangsa meminta bedah siasat kedua untuk mendapatkan penilaian bebas di atas punca kematian.

Mangsa penyalahgunaan kuasa polis di Malaysia yang melaporkan layanan buruk atau menyoal kelakuan polis berkemungkinan kecil melihat polis disiasat, dihukum, atau didakwa. Kerahsiaan yang berlebihan oleh polis bermakna mangsa dan keluarga mereka jarang mengetahui sama ada aduan mereka sedang disiasat atau apa-apa tindakan tatatertib telah diambil. Perintah tetap polis sering kekal diklasifikasikan sebagai rahsia negara.

“Saya memfailkan aduan tentang kematian anak saya, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku seterusnya,” kata Sapiah binti Mohd Ellah, ibu kepada Mohd Afham bin Shiva, 20, ditembak oleh polis di Johor Baru pada tahun 2010. “Kami tidak pernah mendengar apa tindakan yang diambil oleh polis. Tidak ada jawapan, tiada minta maaf.”

Malah mekanisme pengawasan luaran yang sedia adapun, seperti SUHAKAM dan EAIC, tidak begitu berjaya mendapat akses kepada fail kes polis, perintah tetap utama polis yang mengawal penggunaan kekerasan dan senjata api, dan maklumat lain yang diperlukan untuk menjalankan siasatan yang bermakna. Dalam siasatannya dalam penyalahgunaan kuasa yang didakwa berlaku sepanjang perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada bulan April 2012, SUHAKAM mengadu bahawa polis gagal untuk bekerjasama dalam mengenal pasti anggota polis yang menggunakan kekerasan yang berlebihan, termasuk memukul penunjuk perasaan aman dan wartawan.

Human Rights Watch mengesyorkan bahawa kerajaan Malaysia perlu mewujudkan suruhanjaya luar bebas, ditugaskan sepenuhnya untuk menyiasat aduan mengenai salah laku polis dan penderaan, dan memberi suruhanjaya itu semua kuasa yang perlu untuk menyiasat, memaksa kerjasama daripada saksi-saksi dan agensi-agensi kerajaan, mengeluarkan sepina untuk dokumen, dan mengemukakan kes untuk pendakwaan. Dalam pada itu, pembaharuan perlu dibuat untuk meningkatkan prestasi EAIC.

“Ahli-ahli politik dan polis Malaysia gagal dalam ujian untuk memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa penganiayaan,” kata Robertson. “Kesan ini melampaui mereka yang dicederakan secara langsung, mewujudkan ketidakpercayaan berbahaya antara polis dan masyarakat yang mereka kawal.”

Petikan Pilihan

Berkenaan menembak orang yang disyaki:

“Kami tidak tahu bahawa dia adalah seorang pegawai polis kerana kereta tidak bertanda ‘polis’ dan beliau tidak berpakaian seragam. Dinesh keluar dari keretanya dan menuju ke arah polis. Apabila pihak polis mula menembak dia berlari kembali ke keretanya. Dia [lelaki dalam pakaian orang awam] kemudian mula menembak ke arah kereta kami. Kawan saya Moses dan saya mendengar kira-kira 10 hingga 15 tembakan dilepaskan semasa kejadian. Pada masa tersebut, Dinesh tidak memegang apa-apa senjata.”

—Nelawarasan Yoakanathan, saksi bagi tembakan Dinesh Darmasena di Ampang

“Saya sedang menyesuaikan tali pinggang keledar saya dan melihat ke bawah apabila rakan saya memberitahu saya bahawa dua orang sedang menghampiri kereta dan mempunyai kayu di tangan mereka. Apabila saya melihat lelaki-lelaki tersebut dengan kayu - mereka tidak memakai apa-apa pakaian seragam - saya fikir mereka perompak jadi saya mula mengundur. Saya panik. Tiba-tiba, ada bunyi tembakan. Kami tunduk ke bawah. Kereta itu telah ditembak sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali. Saya berasa kebas dan tidak dapat merasakan apa-apa dan kawan saya memberitahu saya bahawa saya telah ditembak. Apabila saya melihat ke bawah... saya melihat darah.”

—Shahril Azlan, pemandu lori ditembak oleh polis di Selangor

Berkenaan kematian dalam tahanan:

“Suami saya tidak berhak diperlakukan begini, dan kami tidak mahu ini berlaku kepada orang lain seperti ia telah berlaku kepada kami... Kami akan berjuang sehingga akhir untuk memastikan bahawa penyeksaan seperti ini tidak berlaku lagi... Kami tiada sesiapa lagi sekarang, beliau adalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga kami - tidak ada seorang pun untuk menjaga kami, apa yang boleh saya lakukan tanpa suami saya? Saya benar-benar percaya bahawa suami saya akan kembali, kerana pegawai penyiasat berkata kepada saya jangan risau kerana suami saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan mereka hanya meminjam suami saya untuk membuat satu kenyataan. Saya akan berjuang untuk dia sehingga berjaya.”

—Marry Mariasusay, isteri Dhamendran Narayanasamy, bercakap di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur

“Saya melihat Abang [Abang] Sugu dalam kedudukan berbaring di atas tanah. Pada masa itu, salah seorang pegawai berpakaian seragam telah memijak-mijak belakang leher Abang Sugu. Sepupu saya dan saya kembali ke rumah... untuk memanggil sepupu-sepupu saya yang lain. Sepupu saya dan saya pergi balik untuk melihat Abang Sugu tetapi apabila kami tiba, saya mendengar polis berpakaian seragam berkata kepada bapa saudara saya yang Abang Sugu telah meninggal dunia.”

—Vasandh Ruban di Hulu Langat

Berkenaan penyeksaan dan layanan buruk oleh polis:

“Salah seorang anggota polis mengambil getah paip dan memukul di bawah kaki saya banyak kali sehingga saya tidak tahan kesakitan. . . . Beliau berkata saya penagih dadah dan memaki hamun saya dalam bahasa Melayu. Selepas itu mereka membiarkan saya selama lebih satu jam. Kemudian Ragu seorang konstabel berbangsa India tanpa pakaian seragam datang, dan saya bertanya kepadanya “Kenapa saya dipukul? Saya perlu menghantar anak-anak saya ke sekolah pagi ini.”.... Dia menendang muka saya. Seorang lagi konstabel memijak kedua-dua kaki dan Ragu mengambil getah paip dan memukul kaki saya... kemudian mengambil pistol dan meletakkannya ke kepala saya dan mengarahkan saya untuk mengaku bahawa saya penagih dadah dan telah mencuri sebuah lori.”

—Mogan Subramanian, diseksa oleh polis di Taman Jaya, Selangor

“Tiga orang polis membawa saya ke luar sel. Dua berpakaian seragam dan satu lagi berpakaian preman. a Pegawai yang berpakaian biasa menumbuk saya di bahagian perut beberapa kali sehingga saya rebah ke lantai. Kemudian seorang lagi polis menendang saya dari belakang. Dia menendang belakang dengan kuat saya berulang kali. Dia menendang saya beberapa kali. Orang-orang di dalam sel melihat keadaan ini dan mereka menjerit kepada polis, supaya berhenti. Mungkin, itulah yang menyelamatkan saya. Pukulan itu berhenti dan saya telah dimasukkan kembali di dalam sel. Saya dalam kesakitan yang amat sangat. Saya mempunyai lebam-lebam di seluruh dada, perut, dan belakang saya.”

— Ahmed Amin Draman, diseksa oleh polis di balai polis Tenah Merah, di Kota Bahru, Kelantan

Berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau semasa perhimpunan aman:

“Masa tu pukul 7 malam... saya berada berhampiran LRT Masjid Jamek [Transit Aliran Ringan] di Jalan Tun Perak. Saya melihat polis mengejar para penunjuk perasaan. Mata mereka merah. Saya sedang berdiri dengan seorang kawan apabila dua orang anggota polis berpakaian seragam biru menjerit kepada saya. Saya berkata, ‘Apa’ (apa?). Mereka datang kepada pada saya dan kelihatan seperti mereka akan menyerang saya. Mereka menumbuk muka saya dengan tangan mereka berhampiran mata saya. … Saya cedera teruk, darah di muka saya. . . . Semasa saya lalu dekat sekumpulan pegawai polis mereka bergilir-gilir memukul saya. Seorang [pegawai] memukul belakang saya dengan baton. Malah saya dipukul dalam kehadiran pegawai berpangkat tinggi. Mereka telah diberikan lesen untuk memukul kami.”

— Haijan Omar, peguam dipukul semasa perhimpunan Bersih 3.0, April 2012

kebertanggungjawapan bagi polis:

“Terdapat tentangan keras daripada pihak polis apabila sesiapa mempersoalkan mereka. Apabila kita bertanya tentang sesuatu kes, polis memberitahu kami bahawa kes itu sedang disiasat dan semuanya dilakukan mengikut prosedur, tetapi kita tidak diberi SOP mereka [prosedur operasi piawai] atau pernah diberitahu apa yang dijumpai oleh siasatan mereka. ‘Percayalah kami,’ kata mereka, ‘Kami sedang menguruskannya.’ Tetapi orang ingin bukti ketara apa tindakan mereka ambil yang kelihatan tidak ke mana. Tidak terdapat sekat dan imbangan.”

— Penyiasat di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Kuala Lumpur, May 2012

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country