Skip to main content
© 2017 AP Photo/Hau Dinh

(Bangkok) – Kementerian Kesihatan Vietnam dalam kenyataan rasminya bertarikh 3 Ogos 2022 menegaskan bahawa tarikan seks sejenis dan menjadi transgender bukanlah satu masalah kesihatan mental, menurut Human Rights Watch hari ini. Pendirian tersebut mengangkat dasar kesihatan Vietnam setanding standard kesihatan dan hak asasi global.

Arahan baharu Vietnam ini menyebut “Persatuan Psikiatri Amerika dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa homoseksualiti bukanlah satu penyakit, justeru homoseksualiti tidak boleh “diubati” atau perlu “diubati”, bahkan ia tidak boleh diubah dalam apa cara sekali pun.”

“Pengiktirafan oleh Kementerian Kesihatan Vietnam bahawa orientasi seksual dan identiti gender bukanlah satu penyakit pasti membawa rasa lega kepada warga LGBT dan ahli keluarga mereka di seluruh Vietnam,” menurut Kyle Knight, penyelidik kanan Human Rights Watch mengenai kesihatan dan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). “Warga LGBT di Vietnam berhak mendapatkan askses kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan tanpa sebarang diskriminasi. Oleh itu, arahan baharu daripada Kementerian Kesihatannya ialah langkah yang sangat penting dan tepat.”

Vietnam telah menunjukkan kemajuan dalam tahun-tahun kebelakangan, kata Human Rights Watch lagi. Pada 2013, kerajaannya mengeluarkan istilah “hubungan seks sejenis” daripada senarai hubungan yang diharamkan di Vietnam. Akan tetapi, tiada pengiktirafan undang-undang yang diberikan kepada hubungan sejenis. Pada 2015, Majlis Kebangsaan Vietnam telah meminda Kod Sivil agar tidak menjadi suatu kesalahan bagi warga transgender menukar nama dan gender mereka dalam dokumen rasmi. Namun, pindaan tersebut tidak memberikan status undang-undang kepada penukaran gender mereka.

Pada 2016, ketika Vietnam menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ia menyokong undi untuk melindungi warga LGBT daripada keganasan dan diskriminasi disebabkan orientasi seksual dan identiti gender mereka. Delegasi Vietnam membuat kenyataan yang menyokong undi tersebut iaitu, “Vietnam memberikan sokongan undi kerana dasar domestik dan antarabangsa Vietnam berkaitan hak LGBT sudah berubah.”

Akan tetapi, ketika menulis laporannya pada 2020, Human Rights Watch mendapati terdapat salah faham fakta dan stereotaip negatif yang menjadi penyebab kepada pelanggaran hak asasi warga LGBT di Vietnam. Ramai di Vietnam percaya bahawa tarikan seks sejenis ialah penyakit mental yang boleh diubati. Kepercayaan tersebut adalah disebabkan kegagalan kerajaan dan persatuan profesional perubatan untuk menyampaikan maklumat secara efektif bahawa tarikan seks sejenis hanyalah sebahagian daripada lumrah manusia.

Pengkaji telah menulis bahawa Vietnam tidak pernah secara rasmi menerima dasar awal WHO pada 1969 yang memperkenalkan diagnosis untuk homoseksualiti. Disebabkan diagnosis ini tidak pernah termasuk dalam bahan bacaan di Vietnam, kerajaan Vietnam juga tidak pernah secara rasminya membatalkan diagnosis seperti yang dilakukan oleh banyak negara dunia setelah WHO menukar pendirian mereka pada 1990. Rentetan itu, layanan kerajaan Vietnam ke atas homoseksualiti yang menganggapnya sebagai perbuatan songsang, termasuklah pakar-pakar perubatan terkemuka Vietnam yang menyokong pendapat yang sama, semakin memperkukuh kepercayaan rakyat Vietnam bahawa tarikan seks sejenis ini ialah suatu penyakit mental.

Mitos yang berleluasa tentang homoseksualiti mempunyai kesan ke atas kanak-kanak dan warga muda. “Kanak-kanak tertekan kerana mereka dipaksa menjadi ‘normal’,” menurut seorang guru kaunselor di Hanoi kepada Human Rights Watch. “Mereka sering diberitahu bahawa tarikan seks sejenis boleh diubah, sepatutnya diubah.”

Pakar antropologi, Natalie Newton dalam sebuah artikelnya bertarikh 2015 menulis, “Ruang nasihat dalam suratkhabar Vietnam menyiarkan pendapat doktor perubatan dan pakar psikologi yang menulis bahawa homoseksualiti ialah penyakit, kecelaruan gender, ketidakseimbangan hormon, atau penyakit mental.”

Badan-badan kesihatan antarabangsa dan semakin banyak pihak kesihatan kebangsaaan serta pertubuhan profesional kesihatan seluruh dunia sudah mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa orientasi seksual dan identiti gender bukanlah penyakit. Mereka turut menyokong dasar-dasar antidiskriminasi terhadap warga LGBT, termasuklah Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang, pada 2002, menyatakan bahawa “orang yang mengasihi orang sama seks bukanlah tidak normal dari segi mental, dan bukan orang berpenyakit.” Bahkan, pertubuhan profesional kesihatan negara di Hong Kong, Filipina dan India turut menegaskan pendirian yang sama serta menyokong hak warga LGBT untuk mendapatkan hak kesihatan tanpa diskriminasi.

Kementerian Kesihatan Vietnam telah mengeluarkan arahan kepada semua pusat perubatan di seluruh Vietnam seperti yang dinyatakan di bawah:

  1. Mempertingkatkan penyiaran dan penyebaran maklumat supaya semua doktor dan staf perubatan, juga pesakit di pusat pemeriksaan perubatan dan pemulihan mendapat kefahaman yang betul mengenai homoseksualiti, biseksualiti dan transgender.
  2. Ketika melakukan pemeriksaan atau pengubatan kepada pesakit, pekerja kesihatan mestilah memastikan kesamarataan gender dan sikap hormat bagi mengelakkan diskriminasi dan prejudis terhadap golongan ini.
  3. Jangan menganggap homoseksualiti, biseksualiti dan transgender sebagai suatu penyakit.
  4. Jangan masuk campur atau memaksa pesakit dalam golongan ini – jika perlu, berikanlah sokongan psikologi, dan ia diberikan oleh mereka yang memahami tentang identiti seksual.
  5. Mempertingkat kawalan dalaman dan usaha pemantauan di pusat pemeriksaan perubatan dan pemulihan, termasuk pengamal perubatan bagi memastikan pematuhan pada kod profesional dalam khidmat perubatan dan undang-undang.

Surat arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Vietnam adalah susulan sebuah petisyen anjuran masyarakat sivil yang sudah meraih lebih 76,000 tandatangan, dan surat daripada pejabat urusan WHO di Vietnam yang menegaskan bahawa “WHO berpegang pada pandangan bahawa sebarang usaha untuk mengubah orientasi seksual orang yang bukan heteroseksual tidak bersandar kepada justifikasi perubatan dan adalah perbuatan tidak bermoral.”

“Vietnam kini sudah setanding dengan kerajaan beberapa negara lain yang jumlahnya semakin meningkat, iaitu negara yang menyokong pendirian bahawa tarikan seks sejenis dan identiti gender hanyalah sebahagian lumrah manusia,” kata Knight. “Dengan arahan ini, Kementerian Kesihatan Vietnam telah mengangkat hak asasi manusia warga Vietnam, manakala warga LGBT pula dapat hidup dengan lebih yakin, dapat menyerlahkan hak ekspresi mereka tanpa rasa takut terhadap reaksi negatif.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic